Wednesday, June 11, 2008

KERAJAAN PUSAT TIDAK PERNAH PINGGIR SABAH, SARAWAK

(Minda Pengarang: Berita Harian, 12 Jun 2008)

RAKYAT khususnya di Sarawak dan Sabah tentu lega dengan jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap akan menunaikan janjinya membawa pembangunan ke kawasan luar bandar walaupun kos operasi di negara ini meningkat berikutan kenaikan harga bahan api. Ini bermakna semua projek pembangunan luar bandar yang sudah diluluskan kerajaan akan disusun semula dan diberi tumpuan untuk memastikan ia siap mengikut perancangan. Untuk itu, Perdana Menteri sendiri mengarahkan semua jabatan dan agensi berkaitan meneruskan projek pembangunan, terutama untuk penduduk luar bandar. Jaminan itu meleraikan kebimbangan rakyat kerana tidak mahu projek yang mereka nantikan selama ini dihentikan separuh jalan atau projek baru dibekukan, terutama yang sudah dirancang untuk pelaksanaan mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), gara-gara kenaikan harga minyak global. Bagaimanapun, dalam penyusunan semula projek pembangunan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri perlu bijak mengaturkannya apatah lagi membabitkan keperluan penduduk di luar bandar dan pedalaman. Pada masa sama, penduduk terbabit juga perlu faham apabila kerajaan terpaksa mengecilkan saiz projek untuk disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa. Berikutan keadaan topografi permukaan tanah di Sarawak dan Sabah yang berbeza dengan Semenanjung, apatah lagi taburan penduduk di merata tempat, memerlukan kajian menyeluruh apabila melaksanakan sesuatu projek. Misalnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi untuk membekalkan tenaga elektrik disebabkan jarak antara satu rumah di luar bandar agak jauh, sekali gus tiang elektrik perlu lebih banyak dipacak.

Masalah seperti ini tak timbul di pedalaman kerana alternatifnya ialah penggunaan jana kuasa elektrik (generator), terutama di rumah panjang yang jaraknya agak jauh di antara satu sama lain serta sukar bagi pelaksanaan projek bekalan elektrik secara bersepadu. Pernah Kerajaan Sarawak menasihatkan penduduk yang bertaburan terutama di perkampungan Melayu, supaya bersetuju untuk dipindahkan ke satu kawasan berdekatan bagi memudahkan kerajaan mencurahkan projek pembangunan, tetapi ia mendapat sambutan dingin. Namun, keseluruhannya keadaan pembangunan infrastruktur di Sarawak dan Sabah masih jauh berbanding di Semenanjung. Selepas rakyat Sabah menerima berita baik daripada Perdana Menteri 10 hari lalu, kelmarin Abdullah turut mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk Bumi Kenyalang. Dana ini adalah untuk pelbagai projek infrastruktur asas dan akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang kita harapkan peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Kerajaan hendaklah memastikan setiap ringgit peruntukan itu disalurkan untuk projek pembangunan, manakala kerenah birokrasi yang sering menyebabkan kelewatan pembinaan projek yang akhirnya boleh meningkatkan lagi kos, dikurangkan. Kita juga berharap hasil pemotongan peruntukan pembangunan untuk kawasan bandar boleh diagihkan untuk projek luar bandar. Kita tidak mahu melihat penduduk negara ini masih lagi tidak mempunyai bekalan air dan elektrik meskipun sudah setengah abad kita merdeka. Oleh itu, kerajaan perlu lebih komited untuk membawa pembangunan ke kawasan berkenaan apatah lagi mereka di luar bandar inilah penyokong kuat kerajaan BN sehingga ia mampu terus berkuasa. Sudah tiba masanya kerajaan BN terus mencurahkan projek pembangunan, terutama infrastruktur di Sarawak dan Sabah supaya pembangunannya seimbang dengan Semenanjung.

No comments: