Wednesday, June 11, 2008

KERAJAAN PUSAT TIDAK PERNAH PINGGIR SABAH, SARAWAK

(Minda Pengarang: Berita Harian, 12 Jun 2008)

RAKYAT khususnya di Sarawak dan Sabah tentu lega dengan jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap akan menunaikan janjinya membawa pembangunan ke kawasan luar bandar walaupun kos operasi di negara ini meningkat berikutan kenaikan harga bahan api. Ini bermakna semua projek pembangunan luar bandar yang sudah diluluskan kerajaan akan disusun semula dan diberi tumpuan untuk memastikan ia siap mengikut perancangan. Untuk itu, Perdana Menteri sendiri mengarahkan semua jabatan dan agensi berkaitan meneruskan projek pembangunan, terutama untuk penduduk luar bandar. Jaminan itu meleraikan kebimbangan rakyat kerana tidak mahu projek yang mereka nantikan selama ini dihentikan separuh jalan atau projek baru dibekukan, terutama yang sudah dirancang untuk pelaksanaan mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), gara-gara kenaikan harga minyak global. Bagaimanapun, dalam penyusunan semula projek pembangunan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri perlu bijak mengaturkannya apatah lagi membabitkan keperluan penduduk di luar bandar dan pedalaman. Pada masa sama, penduduk terbabit juga perlu faham apabila kerajaan terpaksa mengecilkan saiz projek untuk disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa. Berikutan keadaan topografi permukaan tanah di Sarawak dan Sabah yang berbeza dengan Semenanjung, apatah lagi taburan penduduk di merata tempat, memerlukan kajian menyeluruh apabila melaksanakan sesuatu projek. Misalnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi untuk membekalkan tenaga elektrik disebabkan jarak antara satu rumah di luar bandar agak jauh, sekali gus tiang elektrik perlu lebih banyak dipacak.

Masalah seperti ini tak timbul di pedalaman kerana alternatifnya ialah penggunaan jana kuasa elektrik (generator), terutama di rumah panjang yang jaraknya agak jauh di antara satu sama lain serta sukar bagi pelaksanaan projek bekalan elektrik secara bersepadu. Pernah Kerajaan Sarawak menasihatkan penduduk yang bertaburan terutama di perkampungan Melayu, supaya bersetuju untuk dipindahkan ke satu kawasan berdekatan bagi memudahkan kerajaan mencurahkan projek pembangunan, tetapi ia mendapat sambutan dingin. Namun, keseluruhannya keadaan pembangunan infrastruktur di Sarawak dan Sabah masih jauh berbanding di Semenanjung. Selepas rakyat Sabah menerima berita baik daripada Perdana Menteri 10 hari lalu, kelmarin Abdullah turut mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk Bumi Kenyalang. Dana ini adalah untuk pelbagai projek infrastruktur asas dan akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang kita harapkan peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Kerajaan hendaklah memastikan setiap ringgit peruntukan itu disalurkan untuk projek pembangunan, manakala kerenah birokrasi yang sering menyebabkan kelewatan pembinaan projek yang akhirnya boleh meningkatkan lagi kos, dikurangkan. Kita juga berharap hasil pemotongan peruntukan pembangunan untuk kawasan bandar boleh diagihkan untuk projek luar bandar. Kita tidak mahu melihat penduduk negara ini masih lagi tidak mempunyai bekalan air dan elektrik meskipun sudah setengah abad kita merdeka. Oleh itu, kerajaan perlu lebih komited untuk membawa pembangunan ke kawasan berkenaan apatah lagi mereka di luar bandar inilah penyokong kuat kerajaan BN sehingga ia mampu terus berkuasa. Sudah tiba masanya kerajaan BN terus mencurahkan projek pembangunan, terutama infrastruktur di Sarawak dan Sabah supaya pembangunannya seimbang dengan Semenanjung.

‘Buah tangan’ Pak Lah legakan rakyat Sarawak

Oleh Misiah Taib

SEPERTI juga lawatannya ke Sabah sebelum ini, kunjungan sehari suntuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Sarawak kelmarin, membawa bersamanya ‘buah tangan’ yang menggembirakan penduduk di Bumi Kenyalang, apatah lagi dalam keadaan kenaikan harga minyak sekarang. Berikut adalah antaranya: Peruntukan RM1 bilion untuk projek infrastruktur asas diuruskan JPM;

Kad ‘fleet’ kepada penduduk luar bandar di Sarawak untuk membeli minyak diesel pada kadar harga subsidi; Kerajaan Pusat menanggung kos sewa helikopter RM15,000 sebulan untuk setiap Ahli Parlimen melawat kawasan terpencil; Geran pemadanan RM1 untuk setiap RM1 peruntukan bagi projek kecil luar bandar bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sarawak. Maknanya, peruntukan itu menjadikan jumlahnya RM500,000, daripada peruntukan asal RM250,000;

Peruntukan tambahan RM1 juta untuk Ahli Parlimen seperti diumumkan sebelum ini; Membawa masuk ramai lagi anak Sarawak ke dalam perkhidmatan persekutuan; l Sebagai langkah segera, JPA akan melaksanakan skim tukar lantik, iaitu melantik pegawai perkhidmatan negeri ke perkhidmatan awam Persekutuan pada peringkat pertengahan dan tertinggi; Kerajaan akan mengenal pasti anak Sarawak yang ada dalam RM3.9 bilion untuk sediakan bekalan air dan elektrik 24 jam di sekolah luar bandar Sarawak.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang jelas kelihatan sihat, biarpun khabar angin tersebar beberapa hari sebelum lawatan Pak Lah mendakwa beliau sedang sakit tenat, cukup gembira dengan ‘buah tangan’ Pak Lah dalam lawatannya kali ini.

“Saya berpuas hati dan cukup gembira dengan peruntukan tambahan RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak. Ia perkhabaran baik untuk rakyat Sarawak. Kita akan memanfaatkan peruntukan tambahan ini untuk melaksanakan projek infrastruktur, terutama bekalan air, elektrik dan jalan raya di kawasan luar bandar,” katanya.

Bagi Adun Dalat, Datin Fatimah Abdullah, peruntukan tambahan itu pastinya melegakan rakyat Sarawak yang dilihat agak tertekan selepas kenaikan harga minyak.

“Ini adalah sesuatu yang diharapkan bukan saja kami, malah juga seluruh rakyat yang masih cuba menyesuaikan hidup dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya. Lawatan Pak Lah kelmarin bermula dengan acara dialog tertutup pada jam 9 pagi di Hotel Hilton, Kuching selepas beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Taib seawal jam 8 pagi.

Biarpun kehadirannya cuma kira-kira 14 jam di Bumi Kenyalang dengan jadual acara rasminya kira-kira lapan jam, namun kunjungan Pak Lah ke Sarawak, amat bermakna dengan membawa perkhabaran cukup menggembirakan rakyat Sarawak.

Paling lega, pastinya penduduk luar bandar di Sarawak, yang menerima kesan paling teruk berikutan kenaikan harga bahan api serta makanan, kerana rata-rata mereka bergantung kepada penggunaan minyak diesel untuk menjana kuasa generator bagi bekalan elektrik di rumah panjang dan untuk bot laju yang menjadi pengangkutan harian.

Pak Lah bersetuju memberikan kad ‘fleet’ kepada penduduk luar bandar di Sarawak untuk membeli minyak diesel pada kadar harga subsidi, supaya tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga diesel RM1 seliter, seperti diumumkan baru-baru ini.

Menariknya mengenai jalinan hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak ialah pemimpin dari Bumi Kenyalang tidak perlu bersuara lantang, mengasak tekanan dan desakan, termasuk menerusi media untuk membela nasib rakyatnya, kerana Perdana Menteri sendiri sentiasa akur serta prihatin keperluan penduduk di negeri terbesar di Malaysia itu.

Suasana tenang, tanpa lontaran nada meninggi suara, jauh sekali wujud unsur tekanan atau desakan ketika berlangsung dialog tertutup di Hotel Hilton itu, pagi kelmarin, cukup untuk menceritakan segala-galanya.

Selain memberi penerangan mengenai isu semasa, kenaikan harga minyak dan barang, serta langkah diambil kerajaan ke arah mengurangkan kesannya, Pak Lah membuka ruang kepada setiap pemimpin BN, termasuk Ahli Parlimen dan Adun untuk menceritakan permasalahan rakyat di kawasan mereka. Sikap responsif Pak Lah cukup melegakan pemimpin BN yang hadir.

Selain peruntukan tambahan RM1 juta untuk Ahli Parlimen seperti diumumkan sebelum ini, Pak Lah mengumumkan kesanggupan Kerajaan Persekutuan menanggung kos sewa helikopter RM15,000 sebulan untuk setiap Ahli Parlimen di Sarawak melawat kawasan terpencil dan geran pemadanan RM1 untuk setiap RM1 peruntukan bagi projek kecil luar bandar setiap Adun di Sarawak.

Ini bermakna setiap Adun mendapat peruntukan RM250,000 untuk projek kecil luar bandar mendapat tambahan RM250,000 lagi daripada Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlahnya RM500,000.

Pengumuman ini cukup melegakan 30 Ahli Parlimen dan 62 Adun BN di Sarawak.

Selari dengan tekad kerajaan kepemimpinan Pak Lah yang mahu meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak memandangkan topografi serta keluasan kawasan, beberapa pengumuman lain dibuat bagi meringankan beban rakyat khususnya di luar bandar.

Ketika mengakui ada beberapa projek kurang penting mungkin terpaksa ditangguhkan dulu kesan kenaikan bahan api, Pak Lah memberi jaminan projek yang membawa manfaat kepada rakyat khususnya untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar akan tetap diteruskan.

Selain pemberian kad ‘fleet’ secara terus kepada kepada penduduk luar bandar dan peruntukan untuk Ahli Parlimen serta Adun, Pak Lah turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk pelaksanaan projek infrastruktur khususnya di luar bandar di Sarawak, yang akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri.

Janji Pak Lah kepada rakyat Sarawak ialah kerajaannya akan terus bertekad untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus menjelang 2010.

Justeru, ‘Focus Group’ kemiskinan sudah ditubuhkan bagi merangka ‘Poverty Mapping’ dan menyelaras pelaksanaan program pembasmian kemiskinan.

‘Focus Group’ ini memberi penekanan kepada usaha pembasmian kemiskinan di Sabah dan Sarawak. Bancian keluarga miskin tegar dan miskin di Sarawak sudah siap 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir Jun ini.

“Sebanyak 42,654 keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan di Sarawak sudah dibanci untuk menjadi input kepada Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih).

Sebaik bancian selesai, kerajaan akan dapat melaksanakan perancangan ini secara lebih tepat dan berkesan untuk Sarawak,” katanya.

Sebagai langkah awal, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada penyediaan bantuan rumah untuk golongan miskin di bandar dan luar bandar di Sarawak.

Satu lagi perkhabaran gembira buat anak Sarawak ialah Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan penyertaan mereka dalam Perkhidmatan Persekutuan di Sarawak.

Pak Lah berkata, kerajaan sudah menimbangkan pelbagai langkah untuk menambah penyertaan anak Sarawak dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dan pengisian jawatan Ketua Jabatan memandangkan pada masa lalu tidak ramai anak Sarawak memilih menyertai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga sudah diarahkan supaya memberi perhatian khusus kepada Sabah dan Sarawak memandangkan topografi dan kawasannya agak luas.

Selain berdialog dengan pemimpin BN Sarawak, Pak Lah turut merasmikan Jambatan Sungai Sebuyau berharga RM6.8 juta dalam lawatan seharinya itu, selain meninjau pembangunan projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu bernilai RM60 juta, mendengar taklimat di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu dan menghadiri majlis bersama rakyat di Tebedu.